Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, kepakaran dan teknologi dari negara lain seperti India turut juga dilihat di dalam usaha memperhalusi semula projek pengangkutan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, perkara itu masih pada peringkat kajian dengan beberapa syarikat asing dan tempatan juga mengemukakan cadangan model monorel kepada PPj.

"Dalam pada itu, kita masih kaji struktur jambatan dan terowong monorel yang tidak diguna sejak sekian lama, kita tidak mahu ia akan mendatangkan risiko kepada monorel apabila dilaksanakan kelak.

"Insya Allah kajian ini masih di peringkat akhir dan akan dibentangkan dalam Majlis Pembangunan Negara dalam masa terdekat untuk dibincangkan termasuk daripada segi pembiayaianya dibuat sama ada menerusi sumbangan kerajaan ataupun pihak swasta," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Temubual sempena The Putrajaya Boat Race 2019 di sini semalam.

Projek monorel diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjawat Perdana Menteri keempat, namun ditangguhkan penganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004.

Namun sejak peralihan kerajaan tahun lalu, terdapat ura-ura agar projek itu dapat dilaksanakan memandangkan penduduk Putrajaya kini berjumlah lebih 100,000 manakala setiap hari menerima kehadiran 70,000 orang.

Infrastruktur jajaran monorel termasuk laluan terowong bawah tanah dan jambatan gantung dikatakan hampir siap sepenuhnya misalnya jambatan gantung di Presint 3.-UTUSAN ONLINE