Kakak mangsa, Zarina, 53, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh isteri Mohd. Tarmizi iaitu Marina Hamzah, 46.

“Marina memaklumkan adik saya (Mohd. Tarmizi) mungkin terkena tembakan pada bahagian belakang badan kerana ketika serangan dia sedang bersujud dan pagi ini dia dijangka menjalani pembedahan mengeluarkan peluru.

“Setakat ini adik saya stabil seperti dimaklumkan isterinya yang menghubungi saya melalui WhatsApp,” katanya ketika ditemui semasa menerima lawatan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia di rumah Zarina di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Mahfuz mengumumkan kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Parlimennya akan menaja dua tiket penerbangan kepada ahli keluarga Mohd. Tarmizi untuk ke New Zealand dalam masa terdekat.

Tambah Zarina, salah seorang anak Tarmizi, Mohd. Haziq, 17, juga masih belum ditemukan selepas dia melarikan diri untuk mencari perlindungan ketika kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, dia kecewa dan sedih apabila terdapat dakwaan mengatakan bahawa Mohd. Tarmizi sudah meninggal dunia seperti yang tersebar di media sosial.

“Dalam keadaan kita yang tengah risau dan susah hati, mereka berikan maklumat yang tidak tepat dan kami harap jangan sebar benda yang tidak betul,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi kakak Mohd. Tarmizi, Mariani, 49, berkata, dia akan bertolak ke New Zealand bersama sepupu, Nordina Ahmad Fauzi, 30, sebaik sahaja memperoleh tiket penerbangan tersebut.

“Saya sedih kerana dia memang rapat dengan saya... Jadi saya harap pembedahannya hari ini berjalan lancar. Saya dimaklumkan oleh adik ipar keadaan dia (Mohd. Tarmizi) stabil.

“Saya tidak sempat hendak bertanyakan banyak benda kepada adik ipar kerana dia juga masih bersedih sebab anak mereka masih belum ditemukan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE