Azizan Zainuddin, 57, berkata, lori yang dipandu anaknya, Mohd. Baihaki, 25, membawa 24 palet berisi susu tin milik sebuah syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka bagi menghantar bekalan dari Klang, Selangor ke sebuah gudang di Pengkalan Chepa.

"Saya merayu agar sesiapa yang mengambilnya memulangkan kembali kerana susu itu tidak halal diminum kerana bukan milik kita.

"Setakat ini saya hanya menerima semula dua palet. Satu palet mengandungi 50 kotak susu. Satu kotak ada 48 tin susu, bayangkan berapa banyak kerugian terpaksa ditanggung untuk menggantikan kehilangannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azizan berkata, pihaknya telah meminta pengurusan Masjid Mukim Wakaf Zin membuat pengumuman mengenainya waktu solat Jumaat hari ini dan orang ramai yang terambil boleh meletakkan barangan itu di masjid berkenaan sekiranya tidak mahu berurusan secara terus.

"Orang ramai yang mahu pulangkan susu juga boleh menghubungi saya di talian 014-8498669 dan saya amat menghargai keikhlasan anda semua," katanya.

Kejadian pukul 4 petang semalam tular di laman sosial apabila orang ramai dilihat tanpa segan silu mengambil susu dari lori berkenaan. Kes itu turut dilaporkan kepada pihak polis pada hari sama.

Azizan berkata, anaknya yang cedera di bahagian dahi hanya sempat melihat muatan susu yang dibawanya bertaburan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun tidak lama selepas itu, gambar-gambar orang ramai mengambil susu tersebar di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau turut meminta orang ramai yang terambil susu berkenaan memulangkan kembali kepada pemilik lori berkenaan untuk dikembalikan kepada gudang yang menempahnya. - UTUSAN ONLINE