Ketua Komunikasi Serantau Jobstreet.com, Simon Si berkata, berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pihaknya, sebanyak 68 peratus siswazah meminta jumlah gaji yang tidak realistik, sekali gus menyebabkan bakal majikan menolak permohonan kerja mereka.

“Kadangkala terdapat syarikat yang tidak boleh memenuhi permintaan tersebut kerana di luar kemampuan mereka, tambahan pula gaji ditawarkan memadai dengan tuntutan pasaran.

“Para pemohon kerja kena faham bahawa mereka perlu meminta gaji berdasarkan permintaan pasaran dan kerjaya yang kritikal seperti bidang farmasi,” kata­nya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Garis Panduan Kerjaya Jobstreet di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kanan Pengurusan Modal Insan MMU, Mohd. Amin Abdullah Sani.

Mengulas lanjut, Simon ber­kata, hasil kajiannya juga mendapati 64 peratus siswazah gagal mendapat peluang pekerjaan ke­rana lemah penguasaan bahasa Inggeris, 60 peratus (memilih kerja), 60 peratus (lemah berkomunikasi) dan 59 peratus (kurang berkarisma).

Pada masa sama beliau memaklumkan, latar belakang tempat pengajian kini bukan menjadi keutamaan para majikan untuk mengambil siswazah bekerja.

Katanya, sebanyak 64 peratus majikan tidak kisah sama ada pemohon kerja itu siswazah universiti tempatan atau luar negara termasuk tidak mengambil kira lepasan institusi pengajian tinggi awam atau swasta.

“Kaji selidik juga mendapati hanya dua peratus lepasan kolej komuniti dan 13 peratus politeknik masih tidak mendapat peluang pekerjaan, sekali gus menunjukkan statistik pengangguran daripada kedua-dua institusi itu paling rendah.

“Siswazah dari universiti awam menunjukkan pengangguran paling tinggi iaitu 51 peratus manakala lepasan universiti swasta (34 peratus),” katanya.