Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa berkata, projek itu sama sekali tidak mengubah status tanah tersebut kerana masih kekal dalam hak milik petani.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi projek ladang merdeka dan mini yang estet dijalankan oleh agensi berkenaan yang sudah memasuki tahun ke-30.

"Malah projek ini kita dapat tingkatkan hasil pengeluaran padi dengan banyak.

"Saya amat berharap orang kampung dan pesawah yang telah uzur membuka minda mereka dengan boleh bersetuju untuk menerima lebih banyak konsep seperti Ladang Merdeka di sawah mereka," katanya selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat KADA 2019 di Tendong hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Sebelum ini, Mahathir dilaporkan mencadangkan pesawah kecil perlu mencantumkan tanah milik mereka untuk dijadikan ladang padi yang diurus secara profesional dan menjana keuntungan.

Dalam perkembangan lain, Husam memberitahu pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Islam dalam memperkasakan lagi bidang pertanian di bawah selian agensi itu.

Katanya, melalui jawatankuasa itu KADA akan menghidupkan semula amalan pertanian Islam dalam kalangan kakitangannya termasuk para pesawah.

"Zaman dahalu ulama-ulama banyak menulis buku berkaitan kepentingan pertanian namun selepas mencapai kemerdekaan ia makin berkurangan sehingga mengakibatkan Islam terpisah dengan bidang ini (pertanian).

"Sekarang kita nak gabung semula Islam dengan pertanian dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan bidang ini," katanya. - UTUSAN ONLINE