Pengarah Urusan MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar berkata, kerjasama tersebut akan diadakan dalam pelbagai bentuk termasuk program, acara dan konsert melibatkan artis pelbagai negara pada masa depan.

Selain itu, katanya, kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama menyediakan perkhidmatan pengurusan artis dari Asia seperti China, Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan Malaysia.

“Melalui kerjasama ini sekali gus bakal merealisasikan hasrat MHE dan rakan kongsinya sebagai hab hiburan terbesar di rantau ini, seterusnya me­nyumbang kepada pelaburan yang lebih dinamik dan meningkatkan jumlah pendapatan.

“Justeru, MHE dengan kerjasama ini akan dapat merebut peluang sedia ada ini dengan capaian anggaran lebih memberangsangkan,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, MHE adalah anak syarikat terbaharu yang ditubuhkan sebagai hab hiburan serantau, merangkumi penerbitan bahan hiburan dan gaya hidup untuk media cetak dan digital di bawah Kumpulan Utusan.

“Oleh itu, melalui penubuhan Production House MHE dan kerjasama ini, kita bukan sahaja boleh menjadi penganjur konsert besar di Malaysia dan China, tetapi juga berharap agar produk ini membawa nama MHE ke pentas lebih berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Taichi Century Culture Media Co. Ltd, Max Tong berkata, Malaysia berpotensi dalam bidang pelancongan dan menjadi tumpuan rakyat pelbagai negara.

Beliau turut merancang untuk menggabungkan artis dari Malaysia dan China dalam konsert akan datang.