TNB dalam satu kenyataan berkata, orang ramai berpeluang menyemak bil mereka serta bertanyakan mengenai masalah dihadapi mereka sempena Hari Bersama Pelanggan di pejabat TNB Jalan Banda Kaba di sini bermula 28 hingga 31 Mei ini.

Menurut kenyataan itu, pihaknya bersedia memberikan maklumat dan langkah penyelesaian termasuk mengkreditkan lebihan bayaran dalam bil pelanggan jika terbukti terdapat lebihan caj.

“Pengguna berkelapangan yang ingin menyemak bil elektrik mereka secara bersemuka dengan pegawai khidmat pelanggan TNB disarankan hadir pada tarikh tersebut mulai jam 8:30 pagi hingga 4 petang,” jelas kenyataan itu, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak TNB menegaskan bahawa meter pintar yang dipasang di Melaka mencatatkan bacaan tepat dan bukan menjadi penyebab kenaikan bil seperti yang ditularkan.

“Semakan terhadap aduan segelintir pengguna didapati berpunca dari kesilapan semasa pemasangan meter, meter terdahulu yang tidak lagi efisien dan tidak lagi merekodkan bacaan tepat, usikan pada meter lama (meter tampering) dan faktor-faktor berkaitan pembilan,” tambah kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE