Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, pihak luar sering mendakwa mereka 'juara' kepada penderitaan rakyat namun hakikat sebenar, rata-rata mereka hanya membuat pemerhatian secara rambang tanpa turun padang bertemu sendiri rakyat.

"Mereka ini datang, dia duduk hotel besar-besar, dia ada jumpa tuan-tuan semua tak? Katanya juara derita rakyat tapi dia ada datang (turun padang) tak? Tak pun, itu pandangan dia. Tapi rakyat tahu (keadaan sebenar).

"Dia nak kritik tidak apa, tapi turunlah jumpa rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Pantai Geting, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin; Pengerusi Eksekutif SSM, Datuk Nordin Salleh; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jumaat lalu, Alston dipetik sebagai berkata, situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan di samping menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Dakwa beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.

Mengulas lanjut, Daim berkata, kerajaan Persekutuan menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5).

"Sama ada suka ataupun tak suka, kalau dibandingkan dulu sampai sekarang, rakyat lebih selesa berbanding dulu. Dulu mana jalan macam sekarang. Dulu mana ada titi (jambatan) macam sekarang.

"Dulu kita naik basikal sekarang semua naik kereta, takkan tak ada kemajuan? Mesti ada kemajuan," katanya.

Ditanya mengenai khabar angin mengenai pertukaran portfolio beberapa menteri dalam masa terdekat, Daim berkata, beliau tidak ada kaitan dan perkara itu perlu ditanyakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. - UTUSAN ONLINE