Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan PH boleh mengambil tindakan terhadap UMNO atas apa juga alasan kerana mereka kini berada di pihak yang berkuasa.

“Memanglah kalau nak buat atas apa juga alasan, mereka boleh buat kerana mereka pihak yang berkuasa.

“Sama ada nak serah kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau sesiapapun berilah termasuk berdasarkan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad pagi ini, kita UMNO hadapilah apa yang akan berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang juga merupakan Pengerusi PH hari ini berkata, kerajaan berupaya untuk mengambil tindakan dan menyebabkan UMNO muflis, sekiranya mahu berbuat demikian.

Malangnya, kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, kerajaan PH masih membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak bebas walaupun didakwa.

Katanya lagi, UMNO boleh menubuhkan parti baharu tetapi perlu mengikut lunas undang-undang negara.

Sementara itu, Mahdzir berpendapat, beliau tidak melihat ada kemungkinan untuk UMNO dibubarkan.

“Saya tidak fikir sampai ke situ, tapi kalau mereka pergi sampai kepada proses untuk mengharamkan UMNO, kena ada pilihan lain untuk kita,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE