Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, sudah tentu ada ruang untuk setiap mereka melakukan penambah baikkan prestasi untuk berhadapan dengan cabaran akan datang.

"Saya fikir perkara yang menjadi perhatian utama Perdana Menteri ialah peringatan berterusan supaya pemimpin yang dilantik meningkatkan keupayaan dan memberi tumpuan semula kepada isu ekonomi dan isu yang berkaitan dengan kementerian masing-masing," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka 2019 di Dataran Telok Kemang dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas prestasi para Menteri dan Timbalan daripada PKR menjelang pertukaran portfolio beberapa menteri seperti yang diberitahu oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.

Ketika ini, PKR mempunyai tujuh orang Menteri dan tujuh Timbalan Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengenai rombakan portfolio tersebut, Anwar memberitahu, beliau kekal dengan pendirian bahawa tindakan itu adalah prerogatif bagi seorang Perdana Menteri.

"(Bagaimanapun) beliau (Perdana Menteri) mengiktiraf bilangan wakil daripada setiap parti (PH) mencukupi dan adil dalam kabinet," katanya. - UTUSAN ONLINE