Di mana-mana pun di dunia, itulah ungkapan yang dicipta golongan peniaga sebagai ikrar untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Namun jika diperhalusi lagi, ia bukan sekadar slogan yang memihak kepada peniagaan peniaga semata-mata tetapi membawa bersama amaran ‘awas pada kuasa pembeli!’.

Pada hari ini kesinambungan hubungan itu diperkuatkan lagi dengan kuasa media sosial yang mampu mengangkat dan meruntuhkan sesebuah perniagaan di hujung jari pengguna.

Perkara itu dibuktikan melalui kempen pembelian barangan keluaran milik bumiputera, ‘Buy Muslim Bumiputera First’ yang dilancar melalui Facebook, baru-baru ini.

Dalam memperkatakan isu ini, penulis berpendapat tidak wajar tindakan itu dicop sebagai boikot terhadap produk bukan Islam. Sebaliknya perlu dinilai dari perspektif yang lebih menyeluruh.

Tindakan sesetengah pihak melabel usaha itu sebagai ‘jihad ekonomi’ yang digerakkan oleh ektremis juga adalah keterlaluan sedangkan ia tidak lebih daripada pilihan umat Islam untuk mengelak keraguan pada status halal, kesucian dan sebagainya.

Contohnya mudah sahaja. Untuk mendapatkan makanan yang diyakini halal, umat Islam tidak akan memilih produk keluaran syarikat bukan Islam jika mempunyai pilihan produk yang lebih diyakini halal.

Tapi penulis tidak pelik apabila isu ini diperbesarkan seolah-olah telah tercetus satu peperangan antara produk Muslim dengan bukan Muslim. Apa nak pelik jika isu halal pun tidak dapat difahami dan dihormati.

Dalam kalangan peniaga yang telah bertahun-tahun terdedah kepada isu halal sendiri pun masih ada yang tidak menghormati pengiktirafan halal yang dikeluarkan kerajaan.

Bukan setakat menciplak logo halal, ada yang dengan sombong tidak pernah memohon status halal sehinggalah pelanggan mula beralih kepada jenama pesaing yang lain.

Itu contoh yang wajar difahami peniaga bukan Islam. Jika itu dilabel sebagai boikot, kita senyum sahajalah kerana mereka ternyata masih keliru.

Apa pun pada penulis, pilihan untuk membeli atau tidak membeli sesuatu produk adalah keputusan dan hak mutlak individu sebagai pengguna, berdasarkan penilaian dan keutamaan tertentu.

Dari perspektif lain pula, usaha tersebut wajar dilihat sebagai pilihan untuk membantu usahawan Islam yang masih lagi minoriti dalam menghadapi persaingan perniagaan di negara ini.

Penulis rasa tidak timbul isu memboikot produk bukan Islam kerana pada masa ini bukan semua produk mampu dihasilkan orang Islam. Selagi ia mematuhi dan menghormati hak-hak pengguna, tiada salah membeli.

Cuma jika diberikan pilihan, penulis akan memilih secara lebih terperinci. Bukan sahaja produk, bahkan pasar raya mana yang menawarkan harga terbaik pun akan diambil kira. Dan diulangi semula syaratnya, prinsip halal dan suci tetap tidak dikompromi.

Dalam konteks kempen produk Islam yang heboh minggu ini, rasanya ia bukanlah satu tindakan kebencian tetapi terimalah hakikat pengguna sudah mula memilih dan gerakan itu ternyata memberi kesan apabila banyak produk mula dijual pada harga lebih rendah.

Bagi syarikat-syarikat yang masih tidak mahu menghormati hak-hak pengguna, anggaplah kuasa membeli dan memilih pengguna Islam sebagai satu ‘tempelak’ perniagaan. - UTUSAN ONLINE