Dalam satu hantaran di Facebook, Dr. Mohd Asri yang berkongsi berita yang berlaku di India bertajuk 'Mati dibelasah 12 jam' berkata, kejadian dalam berita itu adalah realiti yang terjadi negara berkenaan.

"Itulah yang berlaku di India. Mengapa beberapa kerat yang ada di Malaysia ini sibuk untuk menghantar DZN ke India? Padahal mereka tahu itulah realiti di India," tulis Dr. Mohd Asri.

Berita tersebut melaporkan polis di India memburu kira-kira sedozen orang kerana menyeksa seorang lelaki Muslim selama beberapa jam.

Ini termasuk memaksa lelaki itu melaungkan slogan yang lazim digunakan pelampau Hindu dan merakamnya dalam video yang tular di media sosial sejak mangsa meninggal dunia.

Dalam Video berdurasi 10 minit itu puluhan lelaki memukul Tabrez Ansari sambil memaksa beliau melaungkan slogan yang sering digunakan golongan pelampau berhaluan kanan Hindu di India.

Lelaki itu mati di hospital pada Sabtu lalu iaitu empat hari selepas dia diserang, diikat pada tiang dan dibelasah lebih 12 jam kerana didakwa melakukan kecurian di Jharkhand.- UTUSAN ONLINE