Anda seolah ada tetapi tidak ada, setiap kemusykilan tidak dihiraukan, tangan diangkat menjulang tinggi untuk menarik perhatian dan belas ihsan pensyarah pun tidak memberi kesan.

Ini antara pengalaman yang terpaksa ditempuh Nurul Jannah Zamberi, 23, yang dinobat pelajar terbaik dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan di Rutgers University, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) dalam majlis konvokesyen pada 17 Mei lalu.

Nurul Jannah yang berasal dari Kluang, Johor berkata, dia menyambung pengajian ke Rutgers bermula awal 2017 selepas lebih dua tahun belajar di Foothill College, Los Altos, California.

Jelas anak sulung daripada tiga beradik kepada pasangan peniaga dan surirumah ini, selama enam bulan pertama di Rutgers dia sedih dan tertekan dengan sikap pensyarah yang mengajar subjek kalkulus tersebut yang tidak menghiraukannya langsung.

"Subjek ini sangat penting dalam jurusan kejuteraan sebab ia asas teras yang semua pelajar kejuruteraan perlu fokus. Saya terpaksa belajar sendiri dengan bantuan rakan-rakan sekelas.

"Sepertimana kebanyakan orang di AS, pensyarah itu mempunyai pandangan negatif kepada saya kerana saya seorang muslim dan bertudung.

"Selepas enam bulan menahan sabar, saya menulis surat kepadanya dan memberitahu bahawa tindakannya itu tidak adil untuk saya, akhirnya dia meminta maaf dan melayan saya seperti pelajar lain," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Saiful Adli Abu Bakar di Kampung Surau Salor di sini baru-baru ini.

Pelajar terbaik yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Mudanya dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95 ini berkahwin dengan anak kedua wakil rakyat itu, Suhail Azmin, 23, ketika kedua-duanya berusia 19 tahun.

Nurul Jannah berkata, suaminya yang juga seorang hafiz al-Quran belajar di universiti yang sama tetapi mengambil jurusan Sains Komputer.

"Kami mula berkenalan semasa sama-sama mengikuti program Mara American Degree Preparation Program (MADPP) di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang sebagai persediaan ke AS.

"Dialah yang menjadi pendorong utama kejayaan saya dan menjadi peneman menangis bersama menghadapi segala tekanan semasa belajar.

"Kami tinggal berasingan semasa tahun akhir kerana tidak mampu lagi menanggung sewa sebuah rumah untuk tinggal bersama, tetapi setiap hari suami akan datang ke tempat saya kerana jarak hanya 10 minit berjalan kaki, kami berkongsi makan nasi berlaukkan telur dan kicap yang menjadi juadah harian," katanya.

Nurul Jannah berkata, sebagai salah seorang daripada tiga pelajar beragama Islam daripada 110 pelajar yang mengambil jurusan Kejuruteraan Bioperubatan di Rutgers, dia turut menghadapi cabaran pada peringkat awal daripada rakan sekuliah malah Dekan jabatan kejuruteraan bioperubatan itu sendiri.

"Semasa mula masuk ke Rutgers saya memohon pelepasan beberapa kelas kerana sudah menduduki subjek sama di kolej terdahulu tetapi Dekan juga tidak mengendahkan saya bila pergi berjumpanya, hanya selepas beberapa bulan baru urusan perpindahan kredit selesai.

"Rakan sekuliah juga memandang saya sebelah mata pada malah sedikit sebanyak membuli saya tetapi apabila mereka sedar kemampuan saya barulah saya diterima,"katanya lagi.

Bekas pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba ini berkata, dia sudah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan berhasrat mengambil pengkhususan dalam kejuruteraaan bioperubatan kardiovaskular.

"Bidang kejuruteraan bioperubatan adalah sesuatu yang amat jarang diceburi, ia berkaitan penciptaan peralatan yang digunakan di hospital dan memerlukan seseorang yang mahir dalam bidang kimia, fizik dan biologi," katanya. - UTUSAN ONLINE