Beliau berkata, golongan itu terdiri daripada kakitangan awam yang telah pencen dan mempunyai pendapatan kira-kira RM1,000 tetapi mempunyai kekuatan fizikal untuk ke laut menangkap ikan bagi menambah sumber pendapatan.

“Saya telah berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk berbincang mengenai perkara ini dan usaha kita mendapatkan lesen menangkap ikan untuk mereka tanpa bantuan elaun sara hidup.

“Ia bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa masalah atau ditahan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Fasa Ke-dua kepada Nelayan Daerah Melaka Tengah di sini, hari ini.

Walaupun jumlah permohonan lesen daripada golongan itu tidak ramai hanya kira-kira 70 orang namun usaha itu akan memberi kesan yang besar kepada mereka khususnya yang kini bergantung hidup melalui hasil perikanan.

Sementara itu, katanya, seramai 562 nelayan di daerah Melaka Tengah yang kehilangan punca pendapatan akibat aktiviti tambak laut hari ini menerima bayaran insentif kali kedua melibatkan peruntukan berjumlah RM421,500.

Norhizam berkata, bayaran insentif berjumlah RM3,000 bagi seorang nelayan itu akan dibayar sebanyak empat kali sepanjang tahun ini.

Bayaran pertama telah dibuat pada 5 April lepas dengan jumlah peruntukan RM438,000 melibatkan 584 nelayan berlesen dengan setiap daripada mereka mendapat RM750.

“Saya berharap bayaran insentif ini dapat membantu meringankan beban nelayan yang terjejas pendapatan mereka akibat aktiviti pembangunan dan penambakan laut di persisir pantai daerah Melaka Tengah,” katanya.

Penerima bantuan itu Omar Ab Talip, 59, berkata, beliau bersyukur kerana menerima bayaran insentif berkenaan buat kali kedua dan ia amat berguna untuk menampung kehidupan dia dan keluarga yang terjejas dengan aktiviti tambak laut di kawasan Telok Mas di sini.

“Memang patut bantuan ini dihulurkan kepada nelayan yang terjejas bagi meringankan sedikit beban kewangan yang perlu ditanggung akibat sara hidup yang semakin tinggi, hasil tangkapan yang semakin sedikit dan pendapatan yang tidak menentu kerana tangkapan ikan turut terjejas,” katanya yang telah 30 tahun menjadi nelayan di kawasan Telok Mas.

Sementara itu, nelayan Kampung Portugis, Low Hock Leng, 60, berkata bayaran yang diterima itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan diri seperti ubat-ubatan dan susu.

“Saya dah berumur, nak turun ke laut pun bukan boleh macam dahulu* sekarang ini kira-kira tiga kali sebulan sahaja dan kebiasaannya hanya di tepi persisir pantai sahaja, bukannya di tengah laut,” katanya yang menghidap penyakit darah tinggi. - BERNAMA