Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial negeri, Hanafiah Mat berkata, perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan dibuat bersama Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam masa terdekat.

Katanya, ketika ini golongan pengayuh beca yang terdiri daripada warga emas yang miskin tradisi menerima manfaat insentif RM200 sebulan daripada kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri di samping turut mempertimbangkan untuk memberikan bantuan lain di bawah portfolionya.

"Sebahagian besar daripada mereka masih tidak mendapat pelanggan walaupun sudah pukul 10.30 pagi.

"Maka atas kesedaran itu kita akan berbincang bentuk bantuan lain termasuk memastikan mereka mendapat sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya kepada pemberita selepas melawat kalangan pengayuh beca di Pasar Besar Kedai Payang di sini hari ini.

Keperitan hidup kalangan pengayuh beca yang terpaksa pulang dengan tangan kosong sekurang-kurangnya hampir dua minggu pada setiap bulan disiarkan Utusan Malaysia dalam ruangan Rintihan Rakyat pada 8 Februari lalu.

Walaupun laluan untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga semakin suram, namun golongan ini tetap setia dengan tugasan itu memandangkan sudah lebih 40 tahun menghabiskan sisa kehidupan dengan mengayuh beca. - UTUSAN ONLINE