Bagaimanapun anda tentu tidak akan memberikan jawapan kota suci Mekah atau Madinah yang menjadi destinasi jutaan umat Islam dari seluruh dunia, terutama di musim haji.

Dari awal pagi, untuk menunaikan solat Suboh, hinggalah di tengah-tengah malam, kawasan Masjid Nabawi dan Masjidilharam tidak pernah sunyi dari dikunjungi umat Islam untuk melakukan ibadat-ibadat wajib atau sunat.

Dapat dilihat tanpa mengira waktu, kawasan tawaf Kaabah sentiasa dipenuhi jemaah sama ada melakukan tawaf umrah atau sunat, begitu juga yang begitu khusyuk melakukan solat, beriktikaf, membaca al-Quran atau berzikir.

Walaupun boleh dianggap masih awal untuk musim haji kali ini kerana Hari Wukuf masih berbaki 26 hari, dapat dilihat ratusan ribu jemaah telah mula membanjiri kawasan masjid dengan kebanyakan daripada mereka baru tiba dari Madinah.

Sudah tentu, disebabkan jumlah manusia yang sentiasa ramai itu, maka kedai-kedai di sekitar Masjidilharam seperti restoran, kedai cenderamata atau kedai gunting rambut juga tidak pernah tutup. - UTUSAN