Presidennya, Daryl Chong berkata menurut kenyataan syarikat menerusi aplikasi untuk pemandu pada 28 Julai, ia akan membayar balik lebihan komisen lima peratus kepada para pemandu Grab pada 5 Ogos.

“Bagaimanapun, sudah lebih 48 jam dari tarikh itu dan para pemandu masih belum menerima sesen pun pemulangan semula lebihan komisen yang dijanjikan oleh Grab. Kami menggesa Kementerian supaya melihat perkara ini dan mengambil tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Grab dalam memo itu berkata syarikat itu akan memulangkan sebarang lebihan komisen yang dikenakan ke atas pemandu setelah beberapa orang daripada mereka mengadu syarikat itu mengambil lebih daripada 20 peratus komisen, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan oleh kerajaan mulai 12 Julai tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sidang media pada 12 Julai juga memberi peringatan keras kepada semua pengendali perkhidmatan e-hailing supaya mematuhi peraturan komisen 20 peratus itu.

Bagaimanapun, syarikat itu masih terus mengenakan komisen 25 peratus ke atas para pemandu ‘Terima-Manual’ dari 12 hingga 28 Julai. - BERNAMA