Pengerusi kumpulan syarikat itu, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, syarikat itu mencatatkan perolehan RM1.05 bilion, meningkat 27.7 peratus berbanding RM818.4 juta pada 2018 dan RM774.9 juta pada 2017.

Berikutan itu, katanya, keuntungan bersih MCHB telah meningkat kepada RM218.4 juta untuk 2019 berbanding RM213.3 juta pada tahun sebelumnya.

"Ia menyokong pembayaran dividen sebanyak RM97.1 juta atau 44.6 peratus daripada keuntungan bersih untuk tahun ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 MCHB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Tian Hock dan Pengarah Urusan Kumpulan, Ho Kong Soon.

Menurut Mohamad Haslah, MCHB mampu mencatatkan prestasi yang mengagumkan disebalik tahun yang mencabar untuk sektor hartanah di negara ini.

Jelasnya, jualan hartanah baharu oleh syarikat itu meningkat kepada RM1.3 bilion untuk 2019 atau 9.7 peratus lebih tinggi berbanding RM1.2 bilion pada 2018.

Tambahnya, MCHB akan terus meningkatkan kemapanan jangka panjang melalui kolaborasi strategik dan mempelbagaikan asas pendapatan.

"Untuk tujuan ini, kami telah memulakan dua usahasama antaranya dengan PT Bangun Kosambi Sukses dan Nikko Sekuritas untuk membangunkan Pusat Kewangan Islam di Pantai Indah Kapuk 2, Jakarta.

"Projek ini merangkumi pembinaan menara kembar 26 tingkat dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion," ujarnya. - UTUSAN ONLINE