Malah, ia juga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan perwakilan Pemuda UMNO hingga ada yang mengejek alasan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon, yang disampaikan oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.

Dalam suasana yang jarang-jarang berlaku, sebahagian perwakilan membuat bunyi 'boooo' apabila Asyraf Wajdi memaklumkan Sin Woon memohon maaf kerana tidak dapat hadir.

Bagaimanapun, suasana berbeza diperlihatkan sebaik sahaja Asyraf Wajdi menyebutkan delegasi Pas yang diketuai Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Ia disambut dengan tepukan dan tidak kurang juga perwakilan melaungkan takbir iaitu ungkapan yang dilihat sinonim dengan identiti Pas.

Hubungan antara UMNO dengan MCA sedikit dingin terutamanya selepas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengancam untuk mengusir UMNO dari Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu terus mahu mengadakan hubungan dengan Pas.

Kenyataan Tiong Lai itu kemudian dibalas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempersoal kewajaran MCA membuat ugutan tersebut. - UTUSAN ONLINE