Beliau malah berharap pihak berkuasa dapat memberhentikan segala perhimpunan menyokong Ahli Exco DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong kerana sekiranya perhimpunan seperti itu diteruskan, pendapat umum terhadap mangsa rogol akan diubah kepada tanggapan yang lebih menyebelahi perogol terutamanya mempunyai status sosial yang tinggi.

Ting juga tidak hanya bercakap kosong, sebaliknya merujuk data yang dikeluarkan oleh Women’s Centre for Change (WCC) yang memaparkan peratusan laporan kes rogol palsu adalah serendah dua hingga tiga peratus.

“Sebagai seorang wanita, saya ingin mengingatkan semua apabila pihak tertentu menyatakan Paul adalah tidak bersalah, mereka juga telah menuduh bahawa pembantu rumah tersebut telah berbohong. Adakah tuduhan tersebut adil kepada pembantu rumah Indonesia tersebut?

“Sehingga hari ini ramai bersuara untuk Paul, namun, adakah sesiapa telah bersuara untuk pembantu rumah tersebut?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Paul yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal bukan Islam dan Kampung Baru Perak dalam kenyataan kelmarin, menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai tuduhan palsu dan tidak berasas.

Selasa lalu, media melaporkan pembantu rumah berusia 23 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang, Perak dengan mendakwa dirinya dicabul dan dirogol oleh majikannya di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Dalam pada itu, Ting juga berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Dalam Negeri menghulurkan bantuan kepada pembantu rumah tersebut serta menambah baik sistem perlindungan sedia ada terutamanya kepada pembantu rumah warganegara asing. -UTUSAN ONLINE