Sambil mengharapkan kerjasama tersebut diteruskan dan dijadikan amalan, beliau turut memuji peranan yang dimainkan pelbagai agensi kerajaan khususnya pasukan keselamatan membantu mangsa banjir.

"Kita akui keadaan banjir yang melanda kali ini tidàk begitu serius berbanding tahun-tahun sebelum, namun kerjasama semua pihak termasuk orang ramai amat membanggakan.

"Begitu juga dengan penduduk yang tinggal di kawasan banjir, mereka seolah-olah memiliki kesedaran tinggi untuk berpindah ke kawasan lebih selamat sebaik sahaja diarahkan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wang Ehsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) Daerah Marang di Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 113 orang mangsa banjir yang terjejas apabila rumah mereka ditenggelami air tahun lalu masing-masing menerima bantuan sebanyak RM500 yang melibatkan peruntukan RM56,500.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Tuan Faezah Tuan Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong; Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Left. Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.

Dr. Ahmad Samsuri seterusnya berkata, bantuan wang ehsan KWABBN membuktikan hubungan akrab dan kerjasama baik kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi membantu mangsa bencana yang dalam kesusahan.

"Kita akan terus membantu rakyat, sama ada menggunakan wang daripada saluran kerajaan Pusat dan sebagainya.

"Yang penting, bagi mereka yang terlibat dengan apa jua bencana mestilah bersabar dan reda dengan ujian Allah," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE