Menurutnya, kenyataan beliau bahawa tidak ada terma rujukan ‘Tanah Adat’ di negeri Perak kerana tidak ada perkataan ‘Tanah Adat’ dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memberi gambaran beliau tidak mengiktiraf atau memahami hak-hak Orang Asli.

Beliau berkata, hakikatnya beliau sekadar menyatakan fakta bahawa negeri Perak tidak menggunakan terma ‘Tanah Adat’.

"Ini kerana tiada sebarang enakmen di Perak yang merujuk kepada ungkapan ‘Tanah Adat’.

"Justeru, tuduhan bahawa saya menafikan hak-hak Orang Asli sama sekali tidak berasas malah kerajaaan negeri Pakatan Harapan komited untuk membaiki taraf hidup Orang Asli di Perak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, isu Tanah Adat hanya timbul selepas sekumpulan Orang Asli Kampung Cunex di Gerik mendakwa kawasan pembalakan di Hulu Perak adalah tanah milik nenek moyang mereka.

Mengenai tuduhan kerajaan negeri merampas tanah adat untuk pembalakan Ahmad Faizal berkata, berlaku salah faham selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar negeri ini membuat tuduhan yang kawasan pembalakan terletak di atas ‘Tanah Adat’ Orang Asli.

Menurutnya, sedangkan semua kawasan pembalakan yang berlesen adalah dalam kawasan hutan simpan dan sama sekali tidak melibatkan tanah penempatan Orang Asli.

"Tiada satu pun kawasan atau tanah yang sedang didiami oleh masyarakat Orang Asli telah diceroboh bagi tujuan pembalakan.

"Jelas sekali tidak ada sebarang kejadian komuniti Orang Asli yang kehilangan tempat tinggal atau dihalau akibat aktiviti pembalakan," katanya. - UTUSAN ONLINE