Setiausaha Politik kepada Ahmad Faizal, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, Menteri Besar merasa kesal kerana dua daripada tiga ekor lembu tersebut merupakan sumbangan peribadi.

Menurutnya, sumbangan itu yang sepatutnya diagihkan kepada golongan asnaf dan rakyat di Bagan Datuk namun didakwa telah dijual untuk tujuan lain.

"Susulan satu laporan yang telah difailkan semalam, Menteri Besar menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, seorang ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Bagan Datuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap tiga pemimpin bahagian itu yang didakwa terbabit dalam penyelewengan tersebut.

Bahaman Tokiran mendakwa tiga pemimpin tertinggi Bersatu Bahagian Bagan Datuk menjual dua daripada tiga ekor lembu yang disumbangkan oleh Menteri Besar kepada penduduk setempat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Bahaman mendakwa, dua ekor lembu dijual oleh dua pemimpin Bersatu Bahagian Bagan Datuk dan mereka mengambil duit perjualan tersebut.

Katanya, jumlah dua ekor lembu tersebut dianggarkan dijual RM5,000 seekor dan hanya seekor lembu saja diagihkan. - UTUSAN ONLINE