Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, penalti kewangan yang dikenakan kepada AirAsia dan AirAsia X berikutan syarikat berkenaan telah mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas.

Katanya, MA Sepang pula dikenakan penalti kewangan kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh Mavcom pada suku pertama tahun ini.

“Selaras dengan usaha Mavcom untuk melindungi pengguna daripada caj-caj yang tidak adil dan tidak patut dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan, Mavcom telah mengenakan penalti kewangan kepada AirAsia dan AirAsia X kerana tidak mematuhi Kod Pelindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) oleh sebab kedua-dua syarikat penerbangan tersebut telah mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas.

“Sebagai kod perlindungan pengguna pertama yang digubal khusus bagi industri penerbangan Malaysia, MACPC menggalakkan ketelusan terutamanya mengenai obligasi-obligasi pengendali perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna penerbangan dan berperanan sebagai panduan yang lebih jelas bagi pengguna mengenai hak-hak dan kepentingan mereka sebagai pengguna penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE