Menurutnya, keputusan itu jelas menunjukkan kerajaan PH takut dengan tindak balas daripada masyarakat Melayu atau komuniti muslim dan memutuskan untuk mengekalkan status quo kouta ke program tersebut.

Tambah beliau, bilangan kemasukan ke program itu telah ditingkatkan kepada 40,000 pelajar yang mana dengan peningkatan bilangan tersebut, kemasukan pelajar bumiputera telah meningkat daripada 22,500 kepada 36,000.

“Walaupun banyak perjuangan telah dijalankan bagi kemasukan pelajar-pelajar bukan Melayu, mereka hanya menerima peningkatan tempat daripada 2,500 hingga 4,000 (iaitu) penambahan 1,500 pelajar.

“Walau bagaimanapun, kita tidak berada di kedudukan untuk menentukan bilangan pelajar India yang akan diterima pada masa ini,” katanya seperti dipetik menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Menurut Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II, keputusan itu menunjukkan Kabinet tidak bersedia mengambil keputusan yang berani dalam meningkatkan pengambilan pelajar bukan Melayu terutama kaum India.

“Penyokong-penyokong bukan Melayu PH pasti akan kecewa dengan keputusan ini.

“Saya kecewa dengan keputusan ini. Sepertinya kami gagal maju ke hadapan. Tetapi saya akan tetap berjuang untuk Malaysia yang lebih baik!” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini seperti diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik membuat keputusan menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulas pada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

Selain itu, mesyuarat sama memutuskan kuota 90 peratus untuk pelajar bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera dikekalkan, selaras dengan visi asal program ini bagi menggalakkan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

Ramasamy sebelum ini antara yang lantang mengkritik status quo kuota pengambilan pelajar itu termasuk menyamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama seperti UMNO kerana mempertahankan status tersebut. - UTUSAN ONLINE