Sehubungan itu, tambah Dominic, beliau mengharapkan DAP yang mempunyai pengaruh 41 kerusi Parlimen termasuk enam menteri Kabinet untuk meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menggantikan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan.

“Pemimpin parti DAP akhirnya bersuara dalam isu ini termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga veteran DAP, Datuk Teng Chang Kim. DAP merupakan parti kedua terbesar dalam gabungan parti kerajaan, dengan 41 kerusi Parlimen dan enam menteri Kabinet termasuk Menteri Kewangan, mengapa tidak memanfaatkan pengaruh itu?

“Mereka harus meminta Perdana Menteri untuk menggantikan Menteri Pendidikan yang rasis serta dibawah prestasi. Maszlee telah menyebabkan banyak kontroversi dan kini membuat kenyataan perkauman sedemikian, dia tidak sesuai untuk Malaysia baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, di hadapan penuntut-penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Maszlee berkata adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Katanya, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak termasuk Dominic, beberapa pemimpin DAP serta yang terbaharu MCA yang mengkritik dan mengecam kenyataan Maszlee tersebut.

Dalam pada itu, Dominic turut sekali lagi meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.- UTUSAN ONLINE