Beliau berkata, Chong Wei memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa kejayaan datang daripada titik penyatuan bukannya perbezaan dan perpecahan.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat bangga dengan Chong Wei. Bukan kerana beliau Cina, bukan kerana beliau bukan Melayu, tetapi kerana beliau rakyat Malaysia.

"Beliau telah berjaya menyedarkan kita bahawa untuk maju dan berjaya, menyempitkan diri di dalam perbezaan bukanlah caranya. Dan tidak terkira juga betapa banyak kalinya kerana Lee Chong Wei, kita disatukan," katanya menerusi perkongsian status dalam Facebook.

Tambah Maszlee, pembinaan negara dan kemerdekaan itu menjadi bukti kepada kewujudan perpaduan antara kaum.

"Saya yakin, Merdeka ialah episod terbaik untuk kita sama-sama memaknai erti persaudaraan sesama kita semua. Merdeka menjadi bukti bahawa perpaduan itu telah wujud dan sentiasa menjadi tunjang kekuatan untuk kita bergerak ke depan," katanya.

Terdahulu, Chong Wei meluahkan rasa sedih terhadap isu sensitiviti perkauman begitu hangat dimainkan terutama dalam media sosial.

Beliau juga menyatakan kekesalan terhadap situasi tersebut apabila segala penat lelah dan pengorbanannya dalam arena badminton dilakukannya demi negara.

"Baru-baru ini saya jarang buka Facebook sebab sakit hati baca kenyataan yang keluar. Rakan dan peminat bersikap kasar antara satu sama lain. Ini bukan Malaysia yang saya perjuangkan.

"Sewaktu hilang semangat ketika beraksi dalam perlawanan penting seperti pertemuan dengan Lin Dan dalam peringkat akhir Terbuka Malaysia pada 2006, saya lihat seorang penonton kanak-kanak perempuan Melayu berdoa, India pula menangis.

"Sejak itu saya sedar, jangan putus asa kerana seluruh Malaysia tanpa mengira kaum sedang mendoakan kemenangan," luahnya. - UTUSAN ONLINE