Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kehadiran umat Islam dari dalam dan juga luar Kelantan ke program itu penting supaya Kerajaan Persekutuan tidak tunduk dengan tekanan secara halus yang kini hadir dari kalangan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri supaya pendakwah itu dihantar pulang ke India.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya yakin Tun Dr Mahathir Mohamad sedang tersepit dengan sekutunya dalam PH justeru suara ramai dan kebangkitan rakyat dapat menyokong Perdana Menteri kekal bertegas dengan keputusan tidak tunduk kepada ekstradisi menghantar Zakir ke negara asalnya.

“Perdana Menteri dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan radikal malah digelar fundamentalis agama oleh Barat tetapi dalam isu ini Tun Dr Mahathir tersepit dan seperti terpaksa meraikan rakan-rakan PH.

“Jadi kita selaku rakyat kita wajib nyatakan sokongan kepada Dr Zakir Naik kerana ia akan memudahkan Tun Dr Mahathir membuat keputusan walaupun tidak disenangi sekutunya dalam PH khususnya DAP.

“DAP kita tahu sejak dahulu lagi tidak setuju pendekatan dakwah yang dibawa Dr Zakir Naik, oleh yang demikian saya harap Perdana Menteri jangan tunduk dengan tekanan DAP, walaupun mereka ada kerusi cukup besar dalam Parlimen, tetapi bila-bila masa sahaja kita pemimpin Melayu Islam boleh bentuk kerajaan tanpa DAP,”katanya kepada Utusan Online selepas menyampaikan kuliah pagi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan terbaharu Dr Mahathir dalam wawancara dengan media Turki yang menyatakan Malaysia berada dalam keadaan serba salah dan sepatutnya tidak boleh menerima pendakwah yang menyampaikan pandangan ekstrem tentang agama atau hubungan kaum seperti Zakir tetapi dalam masa sama sukar untuk menghantarnya ke mana-mana negara kerana kebanyakannya menolak.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyelar Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam tulisan di blog beliau yang menyokong saranan peguam kontroversi Anas Zubedy yang mahukan Zakir keluar dari negara ini secara sukarela.

Ahmad Fadhli berkata, orang yang sepatutnya keluar dari Malaysia adalah Kit Siang sendiri kerana tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama Islam disebar kepada bukan Islam jadi apa yang dilakukan Dr Zakir Naik adalah tidak bercanggah.

“Kalau Kit Siang tidak dapat faham Perlembagaan Persekutuan maka orang yang sepatutnya keluar dari negara ini adalah beliau sendiri malah Malaysia tidak rugi apa-apa kalau hilang orang seperti beliau,”katanya.

Terdahulu, dalam kuliahnya Ahmad Fadhli menyeru orang ramai untuk memenuhkan Stadium Sultan Muhammad ke IV pada Jumaat ini supaya masyarakat antarabangsa dan dunia dapat melihat solidariti rakyat Kelantan mempertahankan Zakir. -UTUSAN ONLINE