Sehubungan itu baginda mahu masjid-masjid dalam negeri Perlis ditabir dan diimarahkan tanpa melibatkan kepentingan parti dan sentimen politik.

“Landskap politik boleh berubah. Parti dan kerajaan peringkat negeri dan Persekutuan juga boleh bertukar namun masjid-masjid hendaklah kekal dengan peranannya menyatukan umat Islam,” titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Baginda bertitah merasmikan Mulaqa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Tahun 2019 bersempena sambutan keputeraan baginda ke-76 di Dewan Warisan di sini, hari ini.

Teks titah baginda dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sebelum itu, Rektor Universiti Fatoni, Pattani, Thailand, Dr Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya membentangkan kertas bertajuk ‘Masjid Dalam Perspektif Islam: Manifestasi Kasih Raja dan Ketaatan Rakyat.’

Mufti Kerajaan Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pula membentangkan kertas ‘Pengurusan dan Pengimarahan Masjid di Negeri Perlis: Antara Cabaran dan Harapan.’

Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan pegawai-pegawai masjid dan ahli-ahli jawatankausa kariah supaya sentiasa proaktif mencegah sebarang tindakan mempolitikkan masjid oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Tuan-tuan juga hendaklah berusaha menambah pengetahuan dan mengukuhkan penghayatan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dikanunkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis pada 1948,” titah baginda. - BERNAMA