Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, Yat Tai, 66, dikejarkan ke HSNZ selepas diserang strok semasa berada di atas kapal persiaran mewah Celebrity Millennium yang ketika itu berada di kedudukan 56 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Katanya, selepas menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang kira-kira pukul 2.45 petang, Bot Pengawal 16 segera ditugaskan bagi memberi bantuan tersebut.

“Bot Pengawal 16 tiba di jeti Maritim Malaysia Terengganu pada pukul 6 petang dan seterusnya pesakit yang diiringi suami dan jururawat kapal dibawa menaiki ambulans ke HSNZ untuk menerima rawatan.

“Kapal mewah itu dalam pelayaran dari Singapura menuju ke Incheon, Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Suffi, Maritim Malaysia sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat serta agensi-agensi kerajaan apabila berdepan kecemasan atau bencana. - UTUSAN ONLINE