MAQIS dalam satu kenyataan memberitahu rampasan yang dibuat secara berasingan ke atas empat warganegara China ketika pemeriksaan bagasi dilakukan oleh tiga orang pegawai penguatkuasa di laluan antarabangsa KLIA.

"Pemeriksaan pada 16 Julai dan awal pagi tadi mendapati empat warganegara China membawa masuk daging babi dan produk babi walaupun larangan pengimportan daging babi dari negara China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium.

"Larangan ini telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit dan penyebaran wabak African Swine Fever (ASF)," katanya di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta produk daging babi proses.

Selain itu, tambahnya, perbuatan mengimport babi dan produk babi tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya," katanya.

Tegas kenyataan itu, pihak MAQIS sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi memastikan tiada kemasukan daging babi dan produk babi yang tidak mematuhi prosedur pengimportan masuk ke dalam negara untuk menghalang kemasukan penyakit AFS. - UTUSAN ONLINE