Rampasan dibuat di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, daging itik panggang itu tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah seperti Permit Import dan Sijil Kesihatan dari negara asal.

Jelasnya, dalam pemeriksaan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA2, pegawai MAQIS mendapati seorang warganegara China telah

membawa sebanyak 10 kg. daging itik panggang yang diletakkan di dalam sebuah kotak.

"Daging itik tersebut dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri. Daging itik yang bernilai RM1,000 tersebut telah dirampas dan akan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tarmisal,

perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah

daripada MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam

tahun atau kedua-duanya," jelas beliau.

Katanya lagi, pegawai MAQIS sentiasa tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

"Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam

negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE