Menerusi satu kenyataan hari ini, Mapik menjelaskan, kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini yang akan mengusahakan supaya kedua-dua sekolah itu diberikan peruntukan tambahan adalah disambut baik.

“Mungkin ada yang mengatakan SAR dan sekolah agama persendirian sama dengan sekolah pondok dan sekolah tahfiz. Hakikatnya tidak kerana SAR dan sekolah agama persendirian menggunakan kurikulum kebangsaan dan mengadakan beberapa penambahan misalnya mata pelajaran agama.

“Usaha Kementerian Pendidikan untuk memberi peruntukan tambahan kepada SAR dan sekolah agama persendirian dalam Belanjawan 2019 adalah angkah positif dalam perkembangan politik dan kematangan pemikiran di negara terhadap pendidikan yang inklusif,” katanya.

Dalam pada itu, Mapik berpandangan, SAR dan sekolah agama persendirian wajar untuk mendapat peruntukan dalam Belanjawan 2019 di atas beberapa faktor antaranya kedua-dua buah sekolah tersebut memerlukan dana untuk program asas dalam usaha meningkatkan keberkesanan pendidikan kepada rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, perkara berkaitan dengan peruntukan kewangan dan perbelanjaan ke atas SAR sama ada negeri dan Persekutuan adalah berdasarkan Bahagian 7 Perkara 96 hingga 112 Perlembagaan Persekutuan yang membincangkan sumber pendapatan kedua-dua kerajaan.

Katanya, sumber kewangan adalah berdasarkan kepada sumber kuasa masing-masing dan pembahagian tanggungjawab berdasarkan senarai negeri dan persekutuan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Oleh sebab pendidikan menengah menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan, sumber kewangan juga seharusnya datang dari kuasa yang sama seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang lain menikmati pembangunan dan kemudahan pelbagai atas sebab sekolah tersebut mengamalkan kurikulum kebangsaan namun walaupun SAR telah menjalankan kurikulum kebangsaan sejak tahun 1960-an lagi, bantuan yang diberikan hanyalah bantuan perkapita sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE