Menurut beliau, wang berjumlah RM4.3 bilion itu mungkin dibelanjakan untuk membiayai pembelian Menara Felda dan beberapa pelaburan lain.

“Kenalah saya senaraikan supaya saya memahami perbelanjan dana sebanyak itu. Saya pasti ini dapat dilakukan kerana tentunya ada rekod perbelanjaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shahrir mengulas tentang tindakan yang akan diambil pihak­nya bagi mengembalikan kepercayaan semua pihak khususnya peneroka berikutan penahanan bekas Pengarah Besar Felda oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu.

Beliau menambah, sebanyak RM1.7 bilion lagi dibelanjakan sebagai ‘durian runtuh’ dan telah diserahkan kepada para peneroka dengan setiap keluarga menerima RM15,000.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu memberitahu, dalam laporan Ketua Audit Negara, kira-kira RM200 juta dibelanjakan untuk pelbagai program yang dianjurkan tanpa mendapat kelulusan dan tidak mengikut protokol yang ditetapkan.

“Nak dapatkan balik, kita akan berusaha, tetapi tak mungkin kita dapat balik RM200 juta kerana sudah habis.

“Sebab itu, tugas saya ialah cuba betulkan kedudukan kewangan Felda. Duit bukan tiada, tetapi mungkin disalah belanja,” jelasnya.

Shahrir berkata, beliau dan pengurusan Felda bertanggungjawab mengembalikan keyakinan peneroka terhadap agensi ber­kenaan.

“Kita tahu tugas kita. Kita buat kerja kita sebagai pengurusan, peneroka pun akan kembali kepada kita. Percaya balik kepada Felda,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Felda akan membuat keputusan berhubung penjualan asetnya selepas laporan prestasi kewangan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 20 Februari ini.

Katanya, penjualan aset agensi itu melibatkan harta pelaburan yang tidak menjejaskan operasi Felda.