Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof. Datuk S. Shamala berkata, Malaysia masih berpegang kepada pendirian untuk layak ke sukan dunia itu meskipun kemungkinan diundi dalam kumpulan pasukan kuat.

Katanya, adalah penting untuk memastikan maruah negara dipertahankan dengan menampilkan aksi perlawanan yang terbaik tanpa mengira sama ada pasukan lawan berstatus gergasi sekalipun.

"Walaupun perjalanan itu akan sangat sukar atau senang, kita mesti tempuhinya. Negara kita termasuk kerajaan, MHC, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara sudah beri segala-galanya kepada pasukan hoki kita.

"Ini paling penting untuk kita akui. Jadi ini adalah soal maruah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian padang hoki tiruan Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul dan Cabaran Piala Brother James Macken di sini hari ini.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga bekas murid sekolah berkenaan.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon.

Beberapa tokoh sukan hoki yang pernah mendapat pendidikan di sekolah itu turut hadir antaranya bekas pemain kebangsaan, Gary Fidelis dan Penolong Jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen.

Majlis undian kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 itu akan diadakan Isnin ini dengan Malaysia hampir pasti diletakkan dalam balang tiga bersama-sama Ireland, Perancis dan Korea Selatan.

Berdasarkan format pertandingan, pasukan balang tiga akan diundi menentang salah satu pasukan balang dua yang kemungkinan besar terdiri daripada Jerman, New Zealand, Sepanyol dan Kanada. - UTUSAN ONLINE