Ketua Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, setakat ini sebanyak 19 negara Asia daripada 23 ahli ANMA telah memberikan persetujuan untuk menghadiri mesyuarat dan membuat resolusi dalam persidangan selama tiga hari itu.

Beliau berkata, antara negara yang bersetuju hadir ke persidangan tersebut adalah Thailand, Singapura, Timor Leste, Kazakhstan dan beberapa negara lain.

"Kita mengharapkan persidangan kali ketujuh ini mendapat persetujuan daripada semua ahli ANMA terutamanya tiga negara besar iaitu Jepun, Korea dan China.

"Persidangan ini merupakan platform bagi Malaysia untuk bertukar pandangan dan mencari rangkaian untuk memudahkan usahasama pada masa akan datang," katanya kepada pemberita dalam majlis Perasmian Pameran Antarabangsa Al Haramain 2019 dan Majlis Ramah Mesra Muzium Negara.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Sementara itu , Mohamaddin memberitahu, pameran itu diadakan bagi merancakkan lagi program sepanjang tahun Visit Malaysia 2020.

"Kementerian menyasarkan kunjungan 30 juta pelancong dengan penjanaan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion pada tahun depan.

“Justeru saya berharap agar acara ini boleh menjadi antara pemangkin kejayaan Visit Malaysia 2020," katanya. - UTUSAN ONLINE