Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, tawaran itu telah dinyatakan dalam pertemuan bersama dua wakil kerajaan Indonesia di kementeriannya hari ini.

“Petang ini, saya bersama Timbalan Menteri, pegawai kementerian dan wakil Kementerian Luar telah berjumpa dengan Menteri Kaunselor Indonesia, Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Maklumat, Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia, Agung Cahaya Sumirat.

“Dalam pertemuan itu, Malaysia mengulangi kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan yang memberi kesan rakyat negara ini selain turut menawarkan bantuan untuk memadam kebakaran di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Menurut Bee Yin, semalam, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar juga telah bertemu dengan pegawai kanan Indonesia untuk membincangkan masalah jerebu rentas sempadan yang kini menjejaskan Malaysia.

“Kerajaan Indonesia ketika ini bersama institusi berkaitan sedang menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani punca masalah jerebu, republik itu juga turut memberikan komitmen untuk menguruskan jerebu,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang diberikan katanya, Indonesia menggunakan 1,994 kakitangan di Sumatera dan 860 kakitangan di Kalimantan selain 1,677 sukarelawan untuk memadam kebakaran.

“Mereka juga menggunakan 16 helikopter untuk melaksanakan pengeboman air di tempat strategik selain menangkap mereka yang bertangungjawab ke atas aktiviti pembakaran haram,” katanya.

Dalam pada itu katanya, ketika ini jerebu di Semenanjung berpunca dari Sumatera dan masalah yang sama di Sarawak berpunca dari kawasan Kalimantan.

“Kerajaan akan terus melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan mengizinkan selain menghantar bantuan ke Indonesia sekiranya negara terbabit menerima tawaran yang diberikan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Habis