Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja. 

Jelas Perdana Menteri, bantahan itu berlaku kerana mereka tidak memahami isi kandungan statut berkenaan sehingga bertindak memburukkan kerajaan dan diri beliau. 

"Kita menarik diri bukan kerana ia buruk kepada negara tetapi disebabkan kekeliruan yang dicetuskan oleh pihak tertentu. 

"Kita dapat maklumat usaha ini libatkan raja-raja supaya menentang kerajaan khususnya Perdana Menteri," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dr. Mahathir menyifatkan tindakan pihak berkenaan sebagai pengecut kerana tidak melakukan apa-apa tindakan apabila kerajaan terdahulu melakukan pelbagai kesalahan termasuk mencuri duit rakyat. 

Sebaliknya, kata beliau, pihak berkenan cuba menjadi 'hero' dalam isu Statut Rom dengan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat dan raja-raja Melayu.

"Kita sedar gerakan politik ini adalah untuk mendapatkan sokongan raja-raja supaya menentang kerajaan," katanya. 

Ditanya adakah pihak yang beliau maksudkan itu dari selatan tanah air, Dr. Mahathir berkata: "Anda boleh teka sendiri." 

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak perlu membawa perkara itu di Parlimen untuk dibahaskan sebelum ini kerana berpendapat Statut Rom baik kepada negara. 

Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan. 

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani  Instrumen Kesertaan untuk Malaysia dalam statut berkenaan. 

ICC telah ditubuhkan di bawah Statut Rom dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.

Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan. - UTUSAN ONLINE