Dewan Rakyat meluluskan usul penyertaan Malaysia dalam TPPA setelah mengadakan sidang khas selama dua hari mulai semalam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan usul tersebut diluluskan setelah undi belah bahagian yang dijalankan mendapati sebanyak 127 Ahli Parlimen menyokong berbanding 84 orang yang membantah.

“Maka dengan yang demikian usul ini dipersetujukan,” katanya.

Sesi perbahasan bermula semalam dengan disertai oleh 12 wakil kerajaan dan 12 wakil pembangkang selepas pembentangan usul oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain Mustapa, penggulungan melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Nancy Shukri; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut hadir ketika sesi penggulungan dijalankan.