Setiausaha Agung Hadhari Global Network, Datuk Jefridin Atan berkata, langkah tersebut merupakan satu daripada usaha untuk memartabatkan peradaban Islam khususnya industri halal yang menjadi tumpuan utama komuniti global ketika ini.

“Kita memberi pandangan tentang budaya dan cara hidup Islam yang diamalkan di Malaysia. Sebab itu kita menggariskan Islam Hadhari kerana ia menekankan kesamarataan dan nilai-nilai pembangunan sejagat yang tidak bercanggah dengan konteks masyarakat majmuk dan berbilang agama.

“Prinsip Islam Hadhari ini dapat melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan rohani, berdaya saing serta cekap menangani cabaran semasa secara bijaksana” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan tersebut adalah sempena Persidangan Antarabangsa: Dialog Antara Peradaban yang berlangsung di Seville, Sepanyol Khamis lalu.

Persidangan antarabangsa itu bertujuan membincangkan aspek-aspek peradaban, kemanusiaan serta ekonomi Islam.

Penganjuran persidangan itu berjaya menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk tokoh-tokoh akademik, pemain industri, pembuat dasar, pemimpin masyarakat dan pihak-pihak lain yang berkaitan daripada beberapa negara dunia seperti Maghribi, Mesir dan Jepun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut hadir ke persidangan tersebut. – UTUSAN ONLINE