Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, perbincangan dua hala itu penting bagi menyelesaikan segala masalah berbangkit.

“Perkara ini selalu berlaku dan saya belum dimaklumkan mengenainya (dakwaan pencerobohan Maritim Malaysia di perairan Indonesia).

“Perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa yang dianggotai Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri. Kebiasaannya Kementerian Luar menguruskan hal ini terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Kota Raja di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan dua video di laman sosial Facebook sejak Rabu lalu berhubung dakwaan bot Maritim Malaysia menceroboh perairan Indonesia dengan mengejar kapal Penguat kuasa Kelautan dan Perikanan Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar semalam dipetik berkata, menafikan pihaknya menceroboh perairan Indonesia.

Jelas beliau, kejadian yang berlaku Selasa lalu itu di kawasan pertindihan di perairan Belawan terletak 15 batu nautika dari Pulau Jarak, Perak.

“Dalam kejadian itu, Maritim Malaysia mengesan kapal penguat kuasa Indonesia menahan kapal nelayan tradisional milik rakyat Malaysia dalam kawasan tuntutan bertindih.

“Jadi, tindakan Bot Penggalang Maritim Malaysia tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Difahamkan, seramai lima lelaki warga asing bekerja dengan nelayan tempatan sebagai awak-awak termasuk seorang tekong ditahan pihak penguat kuasa Indonesia dalam kejadian itu. - UTUSAN ONLINE