HILMI YAHAYA

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Malaysia menghadapi kekurangan pakar urologi ketika ini apabila seorang pakar perlu berkhidmat kepada 400,000 orang dan nisbah ini tidak menepati standard dunia.

“Standard dunia yang perlu dicapai ialah 1:100,000 dan sehubungan itu kita telah menyediakan pelan akademik khas yang memendekkan tempoh pembelajaran daripada 10 tahun kepada enam tahun.

“Kualiti pakar urologi tidak perlu dibimbangkan memandangkan di tempoh akhir pembelajaran nanti, kementerian akan menghantar mereka ke luar negara untuk mendapat pendedahan terperinci dalam bidang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Urologi Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perkhidmatan Neurologi Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Rohan Malek dan Presiden Persatuan Neurologi Malaysia, Dr. Teh Guan Chow.

Menurut Hilmi, sebanyak lapan hingga 12 calon dihantar setiap tahun ke beberapa negara antaranya Australia, Jerman dan Amerika Syarikat bagi membolehkan Malaysia melahirkan lebih banyak pakar urologi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian dalam proses akhir ­me­nyiapkan laporan penuh punca wabak malaria di perkampungan Orang Asli Pos Kemar dekat Gerik, Perak.

“Kementerian Kesihatan sudah mengambil sampel darah penduduk setempat selain menyediakan langkah awal bagi mengelakkan kejadian itu berulang kembali dan laporan penuh akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya.