Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya komited dalam merumuskan strategi kawalan dan pencegahan kanser untuk mengurangkan kadar kematian dan meningkatkan kelangsungan nyawa di kalangan pesakit kanser tetapi pada masa ini negara hanya mempunyai 115 pakar onkologi.

Beliau berkata kerajaan menyedari tentang keperluan mempunyai lebih ramai pakar onkologi yang berkelayakan di negara ini kerana kanser adalah penyebab keempat tertinggi kematian di Malaysia dengan kira-kira 37,000 kes dilaporkan setiap tahun.

"Jika penduduk Malaysia adalah 34 juta, nisbah semasa ialah 3.4 pakar onkologi bagi setiap satu juta orang dan ini sangat rendah berbanding nisbah ideal iaitu lapan hingga 10 pakar onkologi bagi setiap satu juta orang," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Simposium Antarabangsa Onkologi dan Fizik Perubatan AMDI kali Kedua di sini hari ini.

Beliau berkata hanya pertambahan lima pakar onkologi dicatatkan tahun lepas dan angka ini tidak menggalakkan.

Beliau berkata daripada 115 pakar onkologi ini, 42 orang berkhidmat di hospital kerajaan termasuk hospital universiti manakala baki 73 orang bertugas di sektor swasta.

"Kemajuan dalam rawatan kanser perlu disokong dengan jumlah pakar onkologi yang mencukupi dalam bidang ini dan untuk mencapai objektif ini, program latihan untuk pakar onkologi perlu diberi penekanan," katanya.

Justeru, Dr Dzulkefly berharap Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (AMDI) Universiti Sains Malaysia (USM) dapat meningkat kemajuan dan menyediakan latihan dalam onkologi klinikal, radioterapi dan bidang -bidang berkaitan.

"Saya diberitahu AMDI USM telah menubuhkan pusat onkologi dan radioterapi di Bertam, Kepala Batas, satu-satunya pusat radioterapi di bawah institusi awam di utara Malaysia dan telah terlibat secara aktif dalam rawatan, pengajaran, latihan dan penyelidikan dalam bidang onkologi dan radioterapi sejak 2015, " katanya.

Terdahulu, AMDI menandatangani memorandum perjanjian dengan The Christie NHS Foundation Trust, untuk bekerjasama dalam menyediakan lebih banyak kursus onkologi dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar onkologi pada masa akan datang. - BERNAMA