Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh berkata, dua perkara tersebut merupakan antara penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi faedah jemaah Malaysia di masa depan.

Beliau berkata, masalah ruang di dalam khemah yang terhad boleh menyebabkan jemaah kurang selesa kerana mereka perlu tinggal di kawasan itu antara tiga dan empat hari.

“Setiap jemaah secara umumnya diperuntukkan dengan ruang kira-kira 7.2 kaki persegi (0.67 meter persegi) di khemah Mina dan agak sukar untuk mereka berbaring dengan selesa,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatannya ke ibu pejabat Tabung Haji di bangunan Abraj Al-Janadriyah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Md. Nor Yusof dan Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman.

“Penambahan kuota juga akan menyebabkan kesesakan berlaku di kawasan khemah, maka kita perlu mengetahui lebih awal maklumat itu untuk memudahkan pengurusan jemaah,” tambahnya.

Fuziah berkata, masalah itu dapat dilihat tahun lepas, apabila khemah seluas 12 x 12 kaki untuk 20 jemaah terpaksa ditambah kepada 22 orang bagi setiap khemah selepas penambahan kuota di saat-saat akhir.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia memahami mengenai masalah keterbatasan kawasan Masyair untuk didiami jutaan jemaah haji dan Tabung Haji boleh mengkaji bagaimana mengatasi masalah itu di masa depan.

“Setakat ini, Tabung Haji dilihat telah melakukan pelbagai perkara yang terbaik demi kebajikan, kesihatan dan melancarkan perjalanan haji jemaah Malaysia,” katanya.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan Tabung Haji dalam pengurusan jemaah seperti pelaksanaan program pelepasan imigresen Arab Saudi di Malaysia dikenali Makkah Route, program menjaga kesihatan, program warga tua, Safari Wukuf dan sebagainya.

“Keprihatinan Tabung Haji terhadap jemaah boleh dilihat sehingga perkara-perkara kecil juga diambil kira seperti jika ada jemaah datang dengan pasangan, mereka akan ditempatkan dengan bilik yang berhampiran,” katanya. - UTUSAN ONLINE