Pengerusi PAC, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, seminar itu adalah anjuran Persatuan Komanwel United Kingdom (Cpa UK) dan ia adalah kali pertama Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi Capac yang melibatkan negara-negara Komanwel di rantau Asia dan Asia Tenggara.

Katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof akan merasmikan seminar itu yang dijangka turut dihadiri Pengerusi PAC Parlimen United Kingdom, Meg Hiller.

Jelas Noraini, sepanjang seminar semua peserta akan didedahkan amalan terbaik kepada PAC Malaysia menjalankan tugas dengan lebih berkesan terutama sekali dalam mengesan berlaku unsur penyelewengan dalam kewangan kerajaan.

“Ini adalah medan terbaik bagi ahli-ahli PAC Malaysia bertukar pandangan dan pendapat dengan rakan-rakan mereka dalam memantapkan lagi struktur urus tadbir jawatankuasa ini, terutama sekali memastikan PAC memainkan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Rakyat kini menuntut PAC Malaysia memainkan peranan lebih aktif dan berkesan terutama sekali dalam menjalankan siasatannya melalui prosiding dengan telus serta berakauntabiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini mengharapkan ahli-ahli PAC Parlimen Malaysia dapat menambah ilmu mereka mengenai kaedah terbaik yang diamalkan di negara-negara Komanwel sama ada ia dapat disesuaikan ketika jawatankuasanya mengadakan prosiding.-UTUSAN ONLINE