MoU itu dimeterai antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dengan rakan sejawatnya, Setiausaha Kesihatan Filipina, Dr.Francisco T. Duque III selepas Mesyuarat Menteri Kesihatan Malaysia dan Filipina yang berlangsung di sini hari ini.

Menurut kenyataan bersama, MoU itu melibatkan soal pendidikan kesihatan, kesihatan reproduktif, pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan kerjasama ubat tradisional, ubat herba, suplemen kesihatan dan produk kosmetik.

Selain itu, MoU tersebut melibatkan pertukaran maklumat mengenai isu-isu berkaitan dengan keselamatan dan kualiti makanan termasuk berkaitan dengan produk diimport.

“Kedua-dua Menteri Kesihatan menekankan betapa pentingnya dalam meningkatkan kerjasama untuk menangani masalah kesihatan merentas sempadan khususnya dalam persekitaran global yang pesat dan berubah.

“Kerjasama kesihatan antara negara-negara jiran adalah penting untuk cepat bertindak balas terhadap ancaman kesihatan awam dan mencegah risiko kesihatan yang lebih besar termasuk wabak dan rintangan mikrob,” ujar kenyataan itu di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Kumpulan Kerja Teknikal Bersama (JTWG) yang dianggotai oleh para pegawai Kementerian Kesihatan kedua-dua negara akan dibentuk untuk mengawasi, memantau dan menilai pelaksanaan MoU berkenaan.

“Kedua-dua Menteri Kesihatan menyatakan harapan mereka bahawa hasil mesyuarat itu akan memperkukuhkan lagi kerjasama di dalam pengurusan isu rentas sempadan berkaitan antara negara dan serta berharap ia dapat diteruskan dalam menangani masalah kesihatan,” kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE