Bukan sahaja Malaysia baharu, sebelum ini pun sama. Berlumba-lumba melontarkan idea berkenaan dan akibatnya Malaysia memang banyak akta. Dalam isu hina agama yang kembali menjadi perhatian sejak lebih seminggu lalu juga tidak terkecuali, ada akta baru katanya akan diperkenalkan.

Sedangkan kesalahan menghina agama telah lama wujud dalam Kanun Keseksaan dengan apa sahaja agama tidak boleh dihina di Malaysia, apatah lagi Islam sebagai agama Persekutuan.

Seksyen 298A (1) kanun itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan dalam era digital, jenayah itu juga boleh disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Undang-undang memang ada untuk dikuatkuasakan dan hukumannya juga jelas tetapi kenapa masih berlaku? Ini tentunya perlu dilihat secara menyeluruh.

Dari sudut penguatkuasaan, selepas berlaku siri bantahan beberapa pihak, polis dalam respons mereka cukup tuntas dengan kes seperti itu diambil alih pasukan khas Bukit Aman untuk siasatan dan pendakwaan segera.

Malah dari semasa ke semasa, polis memaklumkan perkembangan tindakan mereka ke atas kes-kes menghina agama yang dilaporkan termasuk ke atas pemilik akaun media sosial bernama Alvin Chow yang masih diburu.

Ini yang rakyat ternantikan dan mesej-mesej tegas seperti ini cukup perlu dalam memastikan tidak wujud persepsi salah ke atas pihak berwajib dalam menangani kes menghina agama termasuk kes menghina Nabi Muhammad SAW yang jadi keresahan umat Islam kini.

Bab tingkatkan peruntukan hukuman dan gubal undang-undang baharu, kajiannya boleh diteruskan supaya sesuai dengan peredaran zaman, cuma ia mengambil masa sedangkan kes menghina agama terus dilaporkan.

Oleh itu, sebagai pelengkap kepada usaha Bukit Aman, mungkin boleh ditubuhkan mahkamah khas bagi membicarakan kes-kes menghina agama. Ini sebagai satu lagi mesej tegas kepada mereka yang mahu menjejaskan keharmonian negara. - UTUSAN ONLINE