Perdana Menteri Malaysia itu telah mengemukakan pandangannya dalam Persidangan Antarabangsa kali ketiga Mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) dengan memberi pelbagai panduan mengenai bagaimana hendak memajukan sesebuah negara, dengan memberi contoh-contoh dari Malaysia sendiri

“Satu perkara dalam memajukan sesebuah negara ialah anda perlu mengkaji kemajuan yang telah dicapai oleh negara lain. Dalam kes Malaysia, kita mempunyai Dasar Pandang Ke Timur untuk belajar dari Jepun, Korea Selatan selain China. Dulu, kami pun sering belajar dari Eropah.

“Adalah penting untuk mencari model yang boleh ditiru untuk mempercepatkan proses pembangunan, ialah antara nasihat beliau kepada negara-negara Afrika,”' katanya kepada wartawan Malaysia di sini sebelum mengakhiri lawatan beliau ke Senegal pada 16-17 Januari untuk menghadiri persidangan tersebut sebelum berlepas dengan penerbangan ke London.

Dr. Mahathir, 93, diberi penghormatan sebagai satu-satunya ketua kerajaan dari Asia yang diundang untuk menghadiri persidangan itu pada 17-19 Januari bertemakan ‘Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman’.

Dalam persidangan di Dakar itu, Dr. Mahathir turut mengambil bahagian dalam panel perbincangan peringkat tinggi yang turut dihadiri Presiden Senegal Macky Sall dan Presiden Ibrahim Boubacar Keita dari Mali, selain segmen yang melibatkan sektor swasta sebagai enjin penggerak kemunculan.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh perdana menteri ialah pentingnya mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk membolehkan negara mencapai kemajuan, kerana katanya, kestidakstabilan politik boleh mengganggu proses itu.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama rapat antara kerajaan dan sektor swasta, dan berkata kerjasama seumpama itu telah membolehkan Malaysia membangun dengan sangat cepat.

“Tidak salah untuk kerajaan bekerjasama dengan sektor swasta, membantu sektor swasta berjaya supaya mereka boleh membuat untung besar, wang yang banyak kerana sebahagian daripadanya akan dipulangkan juga kepada kerajaan,” hujah beliau menangkis pandangan berbeza mengenai konsep tersebut.

Dalam majlis perasmian persidangan itu satu perutusan dalam bentuk rakaman video oleh Dr. Mahathir telah dita­yangkan di mana beliau berkata perkara paling penting untuk mengubah ekonomi sesebuah negara ialah kestabilan dan tadbir urus yang baik.

Sejurus selepas ketibaan beliau di Dakar dua hari lepas, Dr. Mahathir telah dibawa ke Istana Presiden untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Sall yang memfokus kepada usaha-usaha merapatkan hubungan antara Kuala Lumpur dan Dakar.

“Kita perlu mempunyai hubungan lebih erat bukan sahaja dengan Senegal tetapi juga negara-negara Afrika yang lain kerana buat hampir 15 tahun kita kurang memberi perhatian kepada Afrika (di bawah pentadbiran terdahulu),” katanya dalam sidang akhbar dengan wartawan Malaysia. – BERNAMA