Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pemerhatiannya mendapati persekitaran di ketiga-tiga madrasah moden di Kuala Nerus, Besut dan Hulu Terengganu itu seolah-olah tidak terurus untuk sesi pembelajaran justeru dikhuatiri mengundang bahaya kepada pelajar sekiranya tidak dibaik pulih segera.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk mengambil-alih sekolah ini dengan tadbir urusnya diseleraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di bawah bahagian pendidikan," katanya ketika menjawab soalan Maliaman Kassim (Pas-Ajil) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini hari ini.

Madrasah Moden MAIDAM yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) pada April 2015 bertujuan membolehkan lebih ramai pelajar anak negeri ini mengikuti pengajian agama secara lebih kondusif.

Langkah itu juga sejajar dengan usaha kerajaan terdahulu dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu dan memenuhi permintaan masyarakat.

Menurut Satiful Bahri, pengambilan baharu pada tahun ini terpaksa dihadkan kepada 60 orang sahaja membabitkan Madrasah Moden MAIDAM Besut, walaupun hakikatnya menerima permintaan tinggi daripada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi pengajian tersebut.

Katanya, kerajan negeri komited terhadap usaha menunaikan manifesto pilihan raya umum lalu iaitu mewujudkan satu Parlimen, satu sekolah Islam.

Beliau turut menyentuh usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk membuka semula penajaan pengajian keagamaan ke luar negara terutama di Mesir yang sebelum ini dihentikan sejak 2011 di samping Jordan dan Maghribi pada 2015.

"Kita juga menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pinjaman membiayai yuran pelajar yang ingin ke luar negara bukan hanya untuk kursus pengajian Islam bahkan perubatan yang memerlukan kos tinggi.

"Bagi bantuan perbelanjaan di sana mungkin kita boleh bekerjasama dengan MAIDAM bagi memberikan zakat untuk pelajar hingga pengajian mereka selesai," katanya. - UTUSAN ONLINE