Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 4 Ogos lalu, sewaktu berada di sebuah hotel di daerah ini, mangsa berusia 26 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri dari sebuah mahkamah di Terengganu.

Katanya, lelaki itu memaklumkan mangsa mempunyai notis untuk hadir ke mahkamah berkait kes tunggakan kad kredit.

"Selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada lelaki yang mendakwa anggota polis dan memberitahu mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram serta dadah.

"Talian disambungkan pula kepada seorang lagi 'anggota polis' yang meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank miliknya. Mangsa menyerahkan butiran perbankan internet dan kod pengesahan transaksi (TAC) bagi tujuan semakan," katanya di sini.

Mohd. Wazir berkata, selepas talian diputuskan, mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak bank yang menunjukkan terdapat tiga transaksi pindahan wang miliknya yang berjumlah RM35,600.

"Merasakan dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) semalam," katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE